19 April 2010

Hayati Perjuangan Assabiqul Al-awwalun..dimana letaknya KITA?


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Ketahuilah bahawa di dalam jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka seluruh jasad akan baik dan jika ia rosak maka seluruh jasad juga akan rosak. Ketahuilah, itulah hati.


Ada tiga unsur penting yang ada pada diri para sahabat RA yang mengungguli mereka daripada orang lain. Seandainya ketiga-tiga hal itu wujud di dalam diri kita, nescaya kita akan berjaya melangkah ke jalan kemuliaan dan kemenangan, sebagaimana yang telah mereka perolehi.

PertamaUnsur Keimanan Yang Sempurna

Keimanan inilah yang membersihkan mereka dari keinginan apa pun selain dakwah. Mereka telah mendengar seruan, "Maka segeralah kembali kepada Allah." (Adz-Dzariyat:50)

Mereka menjadikan kalimah La ilaha illallah sebagai slogan, pada saat yang sama mencampakkan slogan selainnya. Orang-orang musyrik berada dalam kesesatan kerana mereka mempertuhan selain Allah. Orang-orang Parsi berada dalam kesesatan kerana mereka mengabdikan diri kepada nafsu dan syahwat. Ahli kitab berada dalam kesesatan kerana mereka menjadikan pendeta dan orang-orang alim mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah. Bumi secara keseluruhan berada di atas panji kesesatan kerana tidak mengambil cahaya daripada Allah. Para sahabat RA berada di atas kebenaran yang nyata kerana mereka telah menghindari penyembahan kepada berhala dan hawa nafsu serta menyerahkan seluruh pengabdian kepada Allah. Mereka tidak beribadat kecuali kepada Allah, tidak patuh kecuali kepada Allah, tidak bergantung kecuali kepada Allah, tidak memohon kecuali kepada Allah dan tidak merasakan kebahagiaan kecuali kerana berdekatan dengan Allah. Mereka tidak merasa menderita kecuali oleh dosa yang menjauhkan dari Allah. Semua itu merupakan faktor pertama yang menyatukan hati mereka, kerana mereka tidak patuhi kepada si fulan atau si fulan.

أبى الإسلام لا أب لى سواه ** إذا افتخروا بقيس أو تميم

Bapakku Islam, tidak ada bapak selainnya bagiku
Ketika orang ramai berbangga dengan Qais atau Tamim

Para sahabat RA tahu bahawa bumi ini milik Allah yang diwariskan kepada siapa saja di antara hamba-hambaNya yang dikehendakiNya dan bahawa kesudahan yang baik akan diperolehi orang-orang yang bertaqwa. Segala perbedaan yang biasanya memecahkan hati-hati menjadi kelompok-kelompok yang berpecah musnah lantaran mereka telah diwarnai oleh sibghoh (celupan) Allah. (Al-Baqaroh:138)

KeduaUnsur Cinta, Kesatuan Hati dan Pautan Jiwa.

Faktor apa lagi yang menjadikan mereka berselisih? Apakah mereka akan berselisih kerana kenikmatan dunia yang fana ataukah kerana perbedaan gaji, tugas dan status, sedangkan mereka mengatahui bahawa "Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa." (Al-Hujurat:13)

Justeru tidak ada faktor yang menyebabkan mereka berpecah-belah. Mereka bersatu dan bersaudara. Yang satu tidak menghinakan yang lain, tetapi masing-masing mencintai saudaranya dengan sepenuh kecintaan, kecintaan yang mencapai tingkatan itsar (mengutamakan orang lain). "Dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan)." (Al-Hasyr:9)

Mereka juga sentiasa menghayati firman Allah yang bermaksud, "Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik." (At-Taubah:24)

KetigaUnsur Pengorbanan.

Mereka telah faham semua ini, sehingga rela memberikan apa saja untuk Allah, hinggakan ada di kalangan mereka yang merasa keberatan mengambil ghanimah yang telah dihalalkan oleh Allah untuk mereka. "Maka makanlah dari sebahagian rampasan perang yang telah kamu ambil itu, sebagai makanan yang halal lagi baik." (Al-Anfal:69)

Hal inipun mereka merasa keberatan dan menghindari. Mereka meninggalkannya kerana mengharapkan pahala dari Allah swt. agar amal mereka tidak dikotori oleh kepentingan peribadi.

Ketiga-tiga unsur ini iaitu keimanan yang membersihkan diri mereka dari fikiran apapun selain makrifatullah, ukhuwwah yang mengikat hati mereka sehingga seakan-akan menyatu dan pengorbanan yang mendorong mereka untuk memberikan jiwa dan harta dalam rangka menggapai ridho Allah, yang menyebabkan mereka tampil dalam profil seperti ini. Faktor-faktor inilah yang telah mengeluarkan sekelompok manusia tersebut dari kehinaan kepada kemuliaan, dari perpecahan kepada kesatuan, dan dari kebodohan kepada ilmu. Mereka adalah pemberi petunjuk bagi umat manusia dan calon-calon pengantin di syurgaNya yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan abadi.

Semoga Allah dorongkan kita untuk mengikut jejak langkah para sahabat RA. Sabda Nabi saw. "Sahabat-sahabatku seumpama bintang-bintang, siapa sahaja di kalangan mereka yang kamu contohi nescaya kamu akan mendapat petunjuk."

wallahu'alam...coretan 19042010_0753

1 comment:

Indaq said...

Salam we,

Inshaallah..teruskan perjuangan..Sebenarnya banyak lagi yang kita belum teroka...

Helaian